Pages

Saturday, July 12, 2014

♥♥TwentyNine♥♥

Syukur alhamdulillah ke hadrat Illahi kerana aku masih bernafas lagi. Hari ini aku genap berumur 29 tahun. 29 bukanlah angka yang kecil, namun tidak juga begitu besar. Umur bukanlah faktor penting untuk aku menilai diri. Apa yang lebih penting adalah sejauh mana sudah aku capai, berapa banyak sudah aku belajar, apa sudah aku tinggalkan dalam tempoh 29 tahun ini.

Aku tahu di luar sana ada yang memandang rendah aku, memperlekeh aku, mencemburui aku. Mungkin kerana aku jarang menunjukkan kedewasaan aku, kematangan aku, keseriusan aku dalam hal-hal kehidupan. Aku bukan jenis manusia yang mahu berkongsi semua perkara di Facebook. Malah, apa yang aku tunjuk pada umum juga ada kalanya langsung tidak mencerminkan diri aku yang sebenar.

Lumrah manusia, ada ketika kita mengagumi seseorang atas dasar apa yang kita lihat di luar. Sekiranya kita dapat lihat dugaan dan ujian Allah yang ditanggungnya, mungkin kita tidak sanggup untuk berada di tempat orang itu. Tanpa kita sedar, kebiasaannya orang yang dilihat sentiasa gembira dan membuat orang lain ketawa itu adalah orang yang paling sedih di dalam hatinya.

Tahun ini tidak sama seperti tahun-tahun yang lepas. Tiada kejutan bangun tidur dengan tiupan lilin pada kek seperti ketika usia 19, tiada majlis yang dirai oleh kawan-kawan seperti ketika usia 21, tiada percutian memanjakan diri seperti ketika usia 24, tiada hadiah mahal sebagai rewards kepada diri sendiri seperti ketika usia 26.

Yang ada tahun ini hanyalah iftar, solat terawih dan witir berjemaah, bacaan qunut nazilah, serta sahur bersama sahabat-sahabat yang hadir dalam hidup aku atas takdir Allah. Sesungguhnya sambutan sebegini sudah cukup indah. Terima kasih kepada kalian yang bersama aku malam semalam. Aku berdoa persahabatan kita akan berkekalan hingga ke jannah, insyaAllah.

Di rumah, sejak lima tahun lepas aku tidak berseorangan menyambut hari jadi. Aku ditemani oleh Muhammad Aqil, iaitu anak kedua abangngah yang berkongsi tarikh lahir dengan aku. Di saat ini, rata-rata rakan yang sebaya aku sudah mempunyai keluarga dan anak sendiri. Tetapi, aku tidak pernah rasa iri hati. Sejak kelahiran Aqil lagi aku selalu menganggap dia seperti anak aku sendiri. Selain berkongsi hari jadi, mungkin kerana kelahiran Aqil dulu adalah satu terapi buat aku yang sedang menghadapi ujian besar tika itu.

Pertanyaan "Engkau bila lagi?", "Bila nak kahwin ni?" ataupun "Sampai bila nak berstatus single?" yang sering diajukan sudah aku lali. Bagi aku selagi aku tidak menganggu rumah tangga orang, tidak mengacau tunangan orang, tidak menaruh hati pada kekasih orang, itu sudah cukup untuk berasa diri aku lebih mulia daripada sesetengah orang yang sanggup melakukan semua itu demi menagih kebahagiaan.

Aku percaya dan yakin janji Allah itu pasti. Setiap manusia diciptakan berpasangan. Sekiranya aku tidak dipertemukan jodoh di dunia, bermakna jodoh aku sudah menunggu aku di 'sana'. Adalah lebih baik aku mempersiapkan diri untuk mendapat yang terbaik daripada berkecil hati dengan tajam kata-kata orang. Lebih baik aku bersyukur kerana diberikan ibu bapa umur yang panjang untuk dapat aku meluangkan lebih banyak masa membalas jasa mereka. Lebih baik aku bergembira kerana dikurniakan anak-anak saudara yang menyayangi aku sama seperti ibu bapa mereka. Lebih baik aku menghargai kesetiaan sahabat-sahabat yang sentiasa disisi dalam apa jua keadaan.

Tahun ini aku tidak ada banyak permintaan. Cukuplah semoga aku kekal sihat untuk bekerja dan menjaga ibu bapa di rumah, semoga aku masih sabar dan redha dengan ujian-ujian Allah, akhir sekali semoga aku terus istiqomah untuk mencari diri yang layak dipanggil muslimah. Amin.



1 Balasan Bebelan:

  1. Nice write up Rin...ignore what people said..don't bother. Your time will come and that might be the best hing that happen in ur life. Walaupun comment aku ni dah lambat kat post ni, aku nak tulis jugak..hahaha

    Selamat Hari Raya in advance! Maaf Zahir Batin :)

    ReplyDelete