Pages

Sunday, June 17, 2012

♥♥Day 4: Summer Backpacking, Seoul 2012♥♥

22 Mei 2012 | Hari ni semua bangun awal sebab bersemangat nak shopping. Lepas bersarapan kami terus berjalan ke Hongik University untuk naik subway train ke stesen Hoehyeon. Destinasi pertama kami hari itu adalah Namdaemun Market. Tempat ini dikenali sebagai the largest traditional market. Dah nama paling besar, sah ah semua benda ada jual di sini. Tapi tujuan kami hanya mahu membeli souvenir. Maka, kami straight ke blok berwarna hijau. Namdaemun Market ini tersangat besar dan ada beberapa blok. Apa yang kami tahu dan baca daripada tulisan blogger-blogger, dinasihatkan membeli-belah di dalam bangunan. Ini kerana kedai-kedai di luar bangunan menjual dengan harga sedikit mahal. Kami pun mengikuti nasihat itu.

Namdaemun Market ini boleh disamakan dengan Pasar Baru di Bandung, Indonesia ataupun Pasar Payang di Terengganu. Ia menjadi tumpuan para pelancong untuk bershopping. Ramai juga warga Malaysia yang kami temui di dalam pasar ni. Tapi macam pernah aku beritahu dalam entri sebelum ni, sesama Malaysian seolah-olah lebih suka memandang dan buat tidak kenal. Tidak mesra. Aku pun tidak tahu mengapa walaupun ada kalanya aku melemparkan senyuman manis kepada mereka. Mungkin mereka rasa tidak berbaloi untuk membalas senyuman manis aku. Sadis. Kami pun mencari dan membeli segala yang dimahukan di sini.

Aku agak beruntung kerana ada Jie dan Niny. Memandangkan mata wang Korea iaitu Won lebih mahal berbanding RM, sudah pasti harga barangan yang di jual di Korea juga lebih mahal berbanding di Malaysia. Tujuan backpacking kami adalah untuk mencari pengalaman, mempelajari budaya negara ini dan bukanlah mahu bershopping sesuka hati, membelikan semua orang pelbagai barang, seolah-olah membawa wang berpuluh-puluh ribu. Ya, memang kami bawa beratus ribu sebenarnya. Tapi ia dalam bentuk Won. Bukannya RM. Maka, sejak awal kami sudah merancang untuk menjimatkan perbelanjaan secara bijaksana. Aku dan Niny berkongsi bajet bagi membeli souvenir untuk adik-beradik AD230 (clasmet) dan committee member My FT Island. Manakala, untuk ofismet aku berkongsi bajet dengan Jie. Sekurang-kurangnya cara ini dapat membantu kami melebihkan bajet shopping untuk diri sendiri dan family. Yang penting kami tak lupakan kawan-kawan kan? ^^





Sekitar Namdaemun Market

Suka aku ingatkan, Namdaemun Market ini ditutup pada hari Ahad. Jadi, sekiranya kalian merancang mahu ke sini nanti pastikan bukan pada hari Ahad. Selain itu, saranan aku ketika membeli-belah di sini silalah berbudi bahasa kepada para peniaga. Majoriti peniaga di Namdaemun Market adalah golongan ahjumma dan ahjussi. Mereka kurang pandai berbahasa Inggeris. Seeloknya kalian tahu serba sedikit bahasa Korea terutama dalam situasi jual-beli barang. Di Korea aku perhatikan tawar-menawar bukanlah budaya perniagaan mereka. Tak salah kalau cuba menawar harga, tapi sekiranya peniaga itu tidak mahu beri diskaun, usahlah kalian cuba sedaya upaya atau berkeras mahukan harga lebih murah. Silap-silap diskaun tak dapat, maki hamun dalam bahasa Korea yang kalian dapat. Hehehehe^^

Cara aku senang saja. Rasa berkenan dengan sesuatu barang tu barulah bertanya harganya. Kemudian, cuba menawar harga jika pembelian aku dalam kuantiti banyak. Biasanya mereka hanya kurangkan KRW500-KRW1000 sahaja. Itu adalah jumlah yang kecil. Tapi dengan budi bahasa dan senyuman manis aku sepanjang dalam urusan jual-beli, rata-rata kedai yang aku singgah akan berikan aku layanan terbaik dan freegift. Di satu kedai ini, aku dan Niny membeli fridge magnet dan nail clipper dalam kuantiti yang agak banyak. Ahjumma itu begitu baik melayan kami. Siap beri minuman kultur Yakult lagi! Kemudian beri kami berdua freegift beg syiling seorang satu. Sebelum meminta diri untuk beredar ahjumma itu menarik kami rapat ke badannya. Dia memeluk, mencium dan memegang kedua pipi aku sambil kata "Kamsahamnida. Yeppo! Yeppo!". Erk? Aku dan Niny memang terkejut. Yeppo bermakna cantik. Cantikkah kami? Huhuhu~ 

Selepas semua dapat membeli barang-barang yang dihajati di Namdaemun Market, kami terus beredar dari situ. Kami tidak mahu berjalan mencuci mata ke blok lain kerana bimbang membeli barang-barang yang tidak diperlukan. Lagipun, tangan masing-masing sudah sarat dengan sekurang-kurangnya seorang 3 plastik hitam. Kami pun kembali ke stesen Heohyeon dan bergerak ke stesen Myeongdong. Keluar sahaja dari subway station terus nampak bangunan Uniqlo berdiri gah di depan. Teramat besar. Pandang sekeliling bermacam-macam butik pakaian berjenama, kedai kosmetik terkemuka, restoran, dan pelbagai lagi. Sesak dengan orang ramai. Semuanya bergaya seperti artis kpop. Mulalah aku rasa rendah diri. Sobs~








Sekitar Myeongdong

Kebetulan, Myeongdong sedang Summer Sale semasa kami pergi. Memanglah sakit hati. Sakit hati sebab tak bawa duit berkepok-kepok untuk shopping bagai tak sedar diri di sini. Sebenarnya barang-barang di Myeongdong tidaklah begitu murah. Tapi bagi aku untuk standard barang berjenama dan berkualiti, buatan Korea, harga yang diletakkan memang berpatutan. Terutamanya dari segi kualiti. Sangat berbeza dengan buatan China walaupun fesyen dan design hampir sama. Memandangkan aku 'puasa shopping' selama hampir 6 bulan semasa di Malaysia, sudah pasti aku ada bajet tertentu untuk diri sendiri membeli apa yang diidamkan di sini. Antara barang yang memang aku idam dan cari adalah skinny berwarna dan backpack. Dan aku berjaya mendapatkannya. Yeeaaaahhhhoooo!~

Myeongdong ni memang tempat shopping. Memang berbahaya bagi shopaholic seperti aku dan Sally berada di tempat seperti Myeongdong ini. Disebabkan masing-masing sibuk shopping, tak banyak gambar di ambil. Menariknya di Myeongdong ini, selain kedai dan butik, terdapat juga gerai-gerai seperti di downtown ataupun Petaling Street yang menjual pelbagai barangan. Cuma gerai-gerai ini mula memenuhi sepanjang jalan kira-kira jam 4.00pm. Sebelum waktu itu hanya sedikit gerai yang ada. Lebih kurang jam 3.00pm, kami selesai membeli-belah. Perut dah mula ada rasa macam vibrate handfon mengikut rentak lagu-lagu kpop yang bergema di sekitar Myeongdong. Kami singgah makan di sebuah restoran yang dicadangkan oleh ramai blogger. Menu kami petang itu adalah Seafood Fried Rice.

Sedap sangat, OK!

Kos makan di restoran itu ialah KRW5,000 bagi seorang. Seronoknya nasi goreng itu dimasak di hadapan kami. Di meja kami. Aroma nasi goreng ini memang terbaik!! Kena pula dengan perut masing-masing yang dah kebulur. Aku yang sebenarnya allergic dengan seafood, dek kerana dah tak ada menu lain yang sesuai untuk dimakan, aku bertawakal sahaja. Mujur hidung aku tidak gatal-gatal lepas makan. Sempat aku merakam video semasa nasi goreng ini dimasak.



Selepas selesai makan dan membuat pembayaran, kami beredar untuk mencari tempat yang sesuai bagi bersolat. Pada mulanya kami tidak menjumpai tempat yang sesuai, semua tempat sesak, sehinggalah aku terpandang di dinding pintu keluar Uniqlo ada tertampal satu kertas. Kertas itu menyatakan terdapat tandas di tingkat 10. Itu membuat aku terfikir mungkin tidak ramai menggunakan tandas di tingkat 10. Dengan itu aku berharap ada ruang yang dapat kami gunakan untuk bersolat. Kami pun naik ke tingkat 10 menggunakan lif. Rupa-rupanya ada panggung wayang di tingkat 10 itu. Tapi disebabkan hari biasa, tidak ramai berada di situ. Kami pun ke tandas untuk mengambil wuduk.

Selepas mengambil wuduk, Jie menegur seorang staf wanita untuk meminta izin menggunakan ruang kecil di sebelah tandas itu bagi bersolat. Malangnya staf itu tidak pandai berbahasa Inggeris. Lalu, dia memanggil seorang kawannya, staf lelaki. Jie pun bercakap dengan staf lelaki itu. Staf itu membenarkan kami menggunakan ruang kecil itu. Tapi mungkin atas timbang rasa dan keprihatinan orang Korea, staf tadi membawa kami ke satu tempat di mana lebih luas dan selesa. Dia menyuruh kami solat di situ. Sungguh tika ini hati aku rasa sayu dan bersyukur kerana sentiasa dipertemukan dengan orang-orang yang berhati mulia meskipun berlainan bangsa dan agama. Usai solat dan mengucapkan terima kasih kepada staf tadi, kami pun beredar dan terus pulang ke Guest House. Cadangnya mahu terus ke Dongdaemun Market, iaitu pasar seakan-akan uptown yang hanya dibuka pada waktu malam. Tapi semua pun dah penat dan tak larat nak pikul barang-barang yang dibeli. Maka, kami sepakat mahu pulang dan ke Dongdaemun pada hari lain. Ok, di bawah ni antara barangan yang aku dapat beli. Yang album-album tu bercampur sendiri punya, Jie-Sally-Niny punya dan kiriman orang.

Tak banyak kan? Termasuk beg, dalam beg tu dan satu lagi beg penuh dengan barang juga. 
Total perbelanjaan di Myeongdong KRW353,500 je! Hahaha, convert RM tengok! ^^