Pages

Tuesday, June 21, 2011

♥♥Kawan paling 'jahat' adalah sahabat terbaik♥♥

Aku ada seorang kawan. Lelaki. Lebih muda namun dia matang. Pada awal perkenalan, aku tidak suka dia, tapi tidak pula aku benci. Cuma aku tidak selesa. Dia 'jahat'. Suka mengejek aku, suka membahan aku, suka memerli aku, suka mengutuk aku, suka memarahi aku dan sentiasa menyakitkan hati aku bila mendengar setiap butir kata yang keluar daripada mulutnya.

Lama-kelamaan aku menemui cara terbaik untuk berkawan dengan dia. Kalau dia kutuk aku, aku kutuk dia balik. Kalau dia bahan aku, aku bahan dia balik. Kalau dia perli aku, aku perli dia balik. Kemudian kami semakin 'kamcing'. Dia orangnya baik, telus, jujur dan rasional. Walaupun ada kalanya perangai tak semenggah macam minta aku tumbuk di rusuk kirinya.

Dia cukup kenal aku. Dia tahu bila aku gembira, bila aku berduka, bila aku kecewa. Walaupun aku tidak buka mulut menceritakan apa-apa, dia pasti dapat mengesannya. Itu uniknya dia. Pagi tadi sekali lagi dia buat aku tersentak dan tersentuh. Hanya dengan beberapa perkataan sahaja dia begitu mencuit hati aku.

Dia tahu. Dia rasa. Dia sedar. Aku tidak seperti selalu yang dikenalinya. Namun aku masih memilih untuk berdiam. Berdiam untuk mencari jawapan sendiri. Bukan aku mengenepikan dia atau kawan-kawan yang lain. Cuma dah terlalu banyak mereka berkorban untuk aku sebelum ni. Aku tak mahu menyusahkan mereka lagi.

Mereka percaya aku. Mereka yakin dengan aku. Mereka mengharap pada aku. Maka, aku perlu lakukan sesuatu demi diri sendiri dan demi mereka yang menghargai aku, yang tidak pernah mengkhianati aku, yang sentiasa ada pada saat jatuh bangun aku.

Ya Allah, sesungguhnya aku sedar. Aku memiliki persahabatan suci yang tidak semua orang dapat merasainya. Sering aku lihat dan dengar orang mengeluh kerana tiada persahabatan yang benar-benar ikhlas dalam hidup mereka. Tapi aku ada, aku memilikinya. Sungguh aku bersyukur. Walaupun aku selalu tidak berjaya dalam perhubungan, tetapi aku berjaya dalam persahabatan. Terima kasih Allah.

Dan....

Terima kasih NMD.