Pages

Monday, November 19, 2012

♥♥Hijrah♥♥


Harapnya belum terlewat aku mengucapkan salam Maal Hijrah. Tahun ni sekali lagi aku berhijrah. Seperti sedia maklum aku sudah bertukar daripada kerjaya sebagai Editor kepada Sales Executive. Masih di PTS Media Group cumanya sudah tidak di bawah unit PTS Professional lagi, kini aku di unit PTS Book Cafe. Tidak di editorial lagi, sudah pindah ke bangunan lain.

Perasaan aku bercampur-baur. Gembira dan sedih dalam satu rasa. Masih belum dapat menyesuaikan diri di tempat baru. Aku tidak kesal tetapi sedikit terkilan kerana bukan lagi dalam bidang yang aku minati. Namun, aku tidak mahu menyerah kalah sebelum mencuba sehabis baik cabaran baru ini.

Aku cuba berfikiran positif dan menganggap semua ini adalah rencana Allah SWT yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk aku. Aku redha dan pasrah. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah, suka aku tanamkan dalam hati selalu akan hal ini. Aku harap segala urusan aku dipermudahkan. Allahumma yassir waala tuassir.

Selain hal berkaitan kerjaya, ada beberapa perkara lain yang akan berubah jua bermula tahun baru ini. Antaranya aku akan berulang-alik dari Klang (rumah aku) ke tempat kerja tidak lama lagi. Maka, tidak menetap di rumah sewa. Perkara lain lebih bersifat peribadi yang tidak mungkin aku kongsikan di blog ini.

Aku amat benar berharap segala perancangan aku untuk tahun baru ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin. Seperti biasa setiap tahun aku akan membuat perancangan yang teliti berkaitan perkara yang mahu dicapai dalam masa setahun. Ia akan menjadi target atau goals bagi setiap tahun supaya aku tidak membuang masa tanpa arah tuju dalam hidup.

Aku sudah pun membuat senarai 'PERLU CAPAI' aku untuk tahun 2013. Tapi aku hanya akan kongsikan pada hujung tahun nanti seperti tahun-tahun yang sudah. Begitu juga wishlist aku serta S.W.A.T bagi tahun 2012. Maka, aku akan tulis pada entri seterusnya.

Cuma saat ini aku sedang dalam masalah. Masalah hati dan perasaan. Beberapa kawan saja yang tahu. Aku masih mencari kebenaran rasa hati yang aku alami sekarang. Aku mohon Allah segera menetapkan hati aku akan hal ini. Dan semoga memberi kemudahan kepada semua pihak yang terlibat. Aku serahkan segala-galanya kepada DIA. Sekiranya ia memberi kebaikan kepada aku, dekatkanlah. Sekiranya memberi keburukan kepada aku, maka jauhkanlah. Lalu pasrahkanlah aku menerima sebarang dugaan.

Semoga aku, keluarga, dan rakan-rakan tersayang dirahmati selalu.
Amin.




1 Balasan Bebelan: